Monday, January 25, 2010

Sistem eksoz Akrapovic tingkat prestasi enjin


Sistem ekzos adalah salah satu bahagian utama kenderaan. Selain bertindak sebagai penyenyap bunyi, fungsi utamanya ialah bagi membebaskan gas yang dikeluarkan enjin. Reka bentuk ekzos memberikan kesan yang besar terhadap prestasi dan janaan kuasa enjin bagi menangani tekanan gas emisi yang berbeza pada julat rpm yang berlainan.

Namun Akrapovic mungkin tidak asing bagi peminat motosikal terutama yang berkuasa tinggi. Sistem ekzos Akrapovic banyak digunakan oleh pemilik motosikal sejak diperkenalkan tahun 1990 dengan jenama Skorpion. Jenama ini ditukar kepada Akrapovic selepas 1997.

Tiga bahan utama diguna pakai dalam pembuatan sistem ekzos jenama ini iaitu gentian karbon, keluli tahan karat dan aloi titanium gred tinggi. Titanium adalah 40% lebih ringan berbanding keluli tahan karat dan banyak digunakan dalam industri aeroangkasa, penerbangan dan juga perlumbaan.

Selain ringan, sistem ekzos Akrapovic juga direka khusus bagi sesebuah kenderaan untuk menghasilkan peningkatan kuasa enjin secara langsung setelah pemasangnya, tanpa memerlukan pelarasan, modifikasi atau penalaan semula enjin. Sistem titanium yang digunapakai pada kereta Porsche 911 GT2-RSR mampu mengurangkan 21 kg berat kenderaan, dengan peningkatan kuasa enjin sebanyak 8.4hp dan penambahan daya kilas sebanyak 18Nm. Sistem Akrapovic Evolution bagi BMW335i pula mampu menghasilkan peningkatan 12.4HP dan daya kilasnya sebanyak 16.4Nm dengan penjimatan sebanyak 19.85kg.

Sistem ekzos ini boleh didapati bagi Porsche, BMW, Nissan GT-R dan Mini CooperS sekitar RM27,000 bagi set titanium.

No comments:

Post a Comment