Wednesday, March 10, 2010

Pesta gajet kembali


TEKNOLOGI mengawal komputer menggunakan mata dan juga menonton video di cermin mata (kiri) adalah antara teknologi yang terdapat di pameran CeBit di Hannover, Jerman.

ROBOT yang boleh mengajar anda berbahasa Cina, komputer yang boleh dikawal dengan pergerakan mata, jam penggera boleh terbang dan menonton video di cermin mata adalah beberapa gajet atau produk berteknologi yang boleh disaksikan di CeBit.

Pameran teknologi terbesar dunia yang berlangsung di Hannover, Jerman, bermula Khamis lepas itu menjadi taruhan kepada syarikat-syarikat teknologi maklumat untuk mengembalikan kegemilangan bidang itu yang agak terjejas tahun lepas kerana kelembapan ekonomi dunia.

Mungkin kita boleh bermula dengan mengenali Amy, robot cantik dan pintar yang mempunyai kemampuan mengajar anda bahasa Cina dan mempunyai 400,000 perkataan untuk diucapkan. Ia juga mempunyai otak yang diprogram dengan pengetahuan daripada keseluruhan Encyclopedia Britannica.

Robot ini menggunakan teknologi kepintaran buatan dan sistem pengenalan suara serta boleh berbual selama empat jam tanpa henti dengan sesiapa sahaja.

Robot setinggi 35 sentimeter dan mempunyai skrin komputer sebagai mukanya itu mempunyai tangan laser untuk memaparkan wajahnya ke dinding. Amy dijangka berada di pasaran menjelang akhir tahun ini, kata Bruce Han dari syarikat Viewmotion Ltd., dari Korea Selatan.

"Setakat ini, dia hanya mampu bercakap dalam bahasa Inggeris dan Cina, tetapi kami berharap dalam masa beberapa tahun lagi Amy boleh berbahasa Perancis, Jerman, Itali dan Jepun," katanya.

Tarikan seterusnya ialah teknologi mengawal komputer dengan hanya menggunakan pergerakan mata yang dibangunkan oleh Tobii Technology dari Sweden.

Teknologi yang dibangunkan untuk membantu golongan kurang upaya (OKU) menggunakan komputer itu membolehkan penyelidik mengetahui apakah elemen pertama yang akan diperhatikan terlebih dahulu apabila seseorang menggunakan komputer.

Teknologi yang hampir sama juga diperkenalkan oleh Fraunhofer Institute yang mana pengguna boleh menunjukkan kepada skrin walaupun berada sejauh 20 meter dan 'menyentuh' ikon-ikon atau mengawal kursor seperti mereka menggunakan skrin sesentuh.

Menghubungkan

Fraunhofer dengan kerjasama beberapa syarikat juga sedang membangunkan perisian 'Hydra' yang merupakan sistem untuk kegunaan rumah pintar kerana ia boleh menghubungkan peralatan di rumah seperti mesin basuh, peti sejuk, langsir dan sebagainya dalam satu sistem.

Misalnya, jika anda berada di luar rumah, anda boleh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mesin basuh untuk menjalankan cucian selepas pakaian anda direndam, menutup atau membuka langsir, membuka atau menutup televisyen dan sebagainya.

Memandangkan pemain muzik seperti pemain MP3 dan iPod adalah gajet biasa masa kini, maka beberapa syarikat berusaha memperkenalkan aksesori yang boleh dihubungkan dengan produk-produk itu seperti Tunebug Vibe.

Produk ini semestinya sangat digemari oleh peminat muzik kerana anda hanya perlu meletakkan pemain MP3 anda kepada mana-mana permukaan seperti meja, dinding, kotak dan sebagainya yang kemudiannya memberikan bunyi menakjubkan dengan speaker mudah alih anda itu.

Sebuah syarikat pengeluar gajet dari Britain, Satzuma misalnya memperkenalkan satu permainan yang mana membolehkan anda melancarkan roket getah untuk mengenai mana-mana sasaran rakan anda dengan menggunakan kawalan komputer.

Bagi yang agak susah bangun pagi dan sering menekan butang snooze atau stop ketika jam penggera berbunyi, apa kata jika anda membeli jam penggera yang boleh terbang!

Dengan jam penggera ini, apabila tiba waktunya yang anda telah tetapkan, ia bukan sahaja akan berbunyi tetapi ada sejenis alat yang akan terbang di sekeliling bilik anda yang mana anda perlu menangkap dan meletakkannya semula kepada jam penggera jika tidak mahu diganggu lagi.

Menarik bukan? Selepas terpaksa bangun dan mengejar alat itu, tentu tiada siapa yang akan merasa mengantuk lagi dengan gajet ciptaan syarikat Getdigital.de dari Jerman ini.

Getdigital.de juga menawarkan sebuah alat kawalan jauh yang sangat kecil tetapi mempunyai kemampuan membuka dan menutup kebanyakan televisyen di Eropah.

Sememangnya, CeBit mempunyai pelbagai teknologi yang mampu membuka minda anda dan juga memberi gambaran mengenai kehidupan masa depan yang sudah tentu menjadi acara wajib untuk dikunjungi kepada peminat gajet dan teknologi terkini.


Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN
ridzwan.iman@utusan.com.m

No comments:

Post a Comment