Tuesday, March 30, 2010

Teleskop Hubble Mencerap Bumi
















SEJARAH Teleskop Angkasa Hubble (HST) bermula pada 1923, apabila bapa roket moden - Hermann Oberth, Robert H. Goddard dan Konstantin Tsiolkovsky memperkatakan mengenai teleskop berupaya mengelilingi orbit Bumi menggunakan roket.

Kemudian seorang ahli astronomi Lyman Spitzer menulis satu buku mengenai kelebihan balai cerap angkasa yang setanding dengan di Bumi. Spitzer banyak menghabiskan banyak masanya bagi membangunkan teleskop. Pada 1962 usaha Spitzer menampakkan hasil apabila Akademi Sains Amerika Syarikat menimbangkan pembangunan teleskop angkasa sebagai sebahagian program angkasa. Tiga tahun selepas itu Spitzer dilantik sebagai ketua jawatankuasa yang bertanggungjawab melaksanakan objektif saintifik bagi teleskop angkasa terbesar.

Sebenarnya kajian astronomi angkasa telah bermula dalam skala kecil selepas Perang Dunia ke Dua apabila saintis mula membangunkan teknologi roket. Manakala rancangan mengenai HST mula diketengahkan seawal 1923 tetapi atas kekangan kewangan dan teknikal, projek berkenaan dimulakan pada 1970an. HST dinamakan sempena ahli astronomi Amerika Syarikat (AS) - Edwin Hubble. Apabila projek teleskop angkasa diluluskan, semua tugasan diagihkan di kalangan beberapa agensi terlibat. Misalnya Pusat Penerbangan Angkasa Marshall (MSFC) diberikan tanggungjawab untuk mereka, membangunkan dan membina teleskop manakala Pusat Penerbangan Angkasa Goddard pula diberikan kuasa mengawal peralatan saintifik dan pusat kawalan Bumi. MSFC pula memberikan tanggungjawab kepada syarikat optik Perkin-Elmer bagi mereka dan membina Aturan Teleskop Optikal (OTA) dan Panduan Penderiaan Halus bagi teleskop angkasa.

Syarikat Lockheed pula diberikan tugas membina kapal angkasa di mana teleskop bakal ditempatkan. Semasa dilancarkan, HST membawa lima peralatan saintifik bagi tujuan pemantauan serta kajian. Walaupun bukan teleskop angkasa yang pertama, HST merupakan teleskop terbesar dan serbaguna bagi menjalankan penyelidikan dan pelbagai tugasan awam lain. HST merupakan hasil kerjasama antara Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan Agensi Angkasa Eropah dan merupakan salah satu Balai Cerap NASA terbesar selain Balai Cerap Gamma Compton, Balai Cerap Chandra X-Ray dan Teleskop Angkasa Spitzer. Mengikut perancangan awal HST bakal dilancarkan pada 1983 kemudian terpaksa ditunda atas alasan yang sama.

No comments:

Post a Comment