Tuesday, March 9, 2010

Teknologi RFID

UMT, Senstech kerjasama promosi MM Chip

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) mendapat kepercayaan syarikat penyedia produk dan teknologi pengesan terkemuka, Sentech Sdn Bhd bagi mewujudkan kerjasama dan pertukaran idea dalam bidang pengesanan melalui frekuensi radio (RFID) dan mempromosi Malaysia Microchip (MM Chip) untuk diguna pakai di sekitar kampus.

Kerjasama itu termeterai menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung antara Pengarah Urusan Senstech Sdn Bhd, Prof Madya Dr Azmi Hassan dan Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama yang akan dijalankan selama dua tahun itu ialah Pengerusi Malaysian Biotechnology Corporations, Tan Sri Dr Ahmad Zaharudin Idrus.

Terdahulu dalam ucapannya, Aziz, berkata menerusi kerjasama itu, Senstech akan menyalurkan dana sebanyak RM200,000 untuk membolehkan UMT membuat penyelidikan bagi membangunkan perisian aplikasi berasaskan teknologi RFID.

Katanya, UMT turut bertanggungjawab mengkaji penggunaan RFID dalam pelbagai aspek seperti penyelidikan membabitkan haiwan laut bergerak seperti kajian mobiliti penyu dan ikan serta kawalan keselamatan trafik di dalam kampus.

"Secara tidak langsung, ciri-ciri yang terdapat dalam teknologi RFID yang mampu mengesan pergerakan dari jarak jauh ini akan dapat membantu UMT dalam menjalankan penyelidikan hidupan laut.

"Ini kerana jika MM Chip dipasang di badan haiwan seperti penyu, ia akan memudahkan pihak UMT untuk memantau pergerakan selain mengesan kewujudan penyakit seterusnya mencegah dari awal sebelum sesuatu penyakit itu disebarkan atau membahayakan persekitaran," katanya.

Menurut Aziz lagi, kerjasama ini bukan saja akan menambah pengetahuan pihak pengurusan, tenaga pengajar dan pelajar tetapi juga mampu meningkatkan prestasi dan daya saing UMT dalam sektor penyelidikan global yang semakin kompetitif.

Kerjasama ini, katanya, akan membolehkan UMT muncul sebagai institusi pengajian tinggi awam di pantai timur yang terawal menggunakan teknologi RFID dalam sistem pentadbiran dan maklumat pelajar, sejajar dengan perkembangan pesat UMT untuk muncul sebagai Universiti Pengajaran dan Penyelidikan (TRU) pada 2015.

Sementara itu, Azmi berkata, geran penyelidikan yang disalurkan oleh Senstech akan digunakan oleh tenaga akademik UMT untuk membangunkan aplikasi berasaskan teknologi RFID khususnya bagi pengesanan aset dan inventori seterusnya mempopularkan penggunaannya di kalangan warga kampus.

Katanya, antara aspek penggunaan perisian ini ialah di pintu keluar dan masuk sesebuah organisasi, maklumat aset yang dipindahkan, maklumat penempatan, pengesanan buku di rak perpustakaan selain kajian mobiliti objek bergerak.

Beliau berkata, perisian pertama dijangka dapat dihasilkan tahun ini.


No comments:

Post a Comment