Saturday, March 13, 2010

UMP Terima 13 Robot Industri Daripada Perodua


KUANTAN, 29 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang (UMP) Selasa menerima sumbangan 13 robot industri bernilai RM2.6 juta daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menerusi program kerjasama strategik antara industri dan institut pengajian tinggi (IPT).

Robot industri tersebut pernah digunakan bagi pemasangan model kereta Perodua iaitu jenis Kenari, Kancil dan Kelisa yang telah diberhentikan keluarannya.

Perodua turut menyerahkan manual penggunaan robot kepada universiti berkenaan bukan sahaja untuk pembelajaran dalam kelas dan praktikal malah lebih kepada tujuan pembelajaran simulasi industri.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam ucapan pada majlis penyerahan itu, berkata sumbangan robot tersebut adalah untuk digunakan dalam pembelajaran sebagai salah satu usaha penerapan kaedah kilang berasaskan industri di universiti berkenaan."Kerjasama antara UMP dan Perodua bukan sekadar sumbangan robot sahaja malah pemindahan teknologi melalui latihan pengendalian robot," katanyaTeks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Mohd Hilmey Mohd Taib.

"Para pelajar turut didedahkan dengan peralatan canggih robot industri ini selari dengan perkembangan industri yang memberi kemudahan kepada pelajar untuk membuat penyelidikan selain mereka didedahkan dengan suasana di makmal dan kilang sebagaimana mereka akan bekerja di industri nanti" katanya.

Pada majlis tersebut turut diadakan pameran Perodua selain pameran pelbagai hasil penyelidikan UMP yang telah memenangi pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment